Orang kata cinta itu buta. Ya, membutakan mata dari melihat rupa semata-mata. Tetapi celikkan hati dalam memilih cinta yang benar.
“Cinta itu adalah perasaan yang mesti ada pada tiap-tiap diri manusia, ia laksana setetes embun yang turun dari langit, bersih dan suci. Cuma tanahnyalah yang berlain-lainan menerimanya. Jika ia jatuh ke tanah yang tandus, tumbuhlah oleh kerana embun itu kedurjanaan, kedustaan, penipu, langkah serong dan lain-lain perkara yang tercela. Tetapi jika ia jatuh kepada tanah yang subur, di sana akan tumbuh kesuciaan hati, keikhlasan, setia budi pekerti yang tinggi dan lain-lain perangai yang terpuji”
Buya Hamka
Hamka yang dikenali tegas dalam menyampaikan agama tetapi sangat puitis apabila berbicara soal cinta. Jika kita amati setiap penulisan fiksi Hamka, disamping beliau mengkritik budaya sosial setempat, beliau menyisip pesan-pesan cinta di dalamnya.
Buat mereka yang sedang jatuh cinta, ini pesan-pesan Hamka kepadamu;
1) Cinta itu perang, yakni perang yang hebat dalam rohani manusia. Jika ia menang, akan didapati orang yang tulus ikhlas, luas pikiran, sabar dan tenang hati. Jika ia kalah, akan didapati orang yang putus asa, sesat, lemah hati, kecil perasaan dan bahkan kadang-kadang hilang kepercayaan pada diri sendiri.
2) Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat.
3) Bukan laut namanya jika airnya tidak berombak. Bukan cinta namanya jika perasaan tidak pernah terluka. Bukan kekasih namanya jika hatinya tidak pernah merindu dan cemburu.
4) Bahwasanya cinta yang bersih dan suci (murni) itu, tidaklah tumbuh dengan sendirinya.
5) Cinta bukan melemahkan hati, bukan membawa putus asa, bukan menimbulkan tangis sedu sedan. Tetapi cinta menghidupkan pengharapan, menguatkan hati dalam perjuangan menempuh onak dan duri penghidupan.
6) Takut akan kena cinta, itulah dua sifat dari cinta, cinta itulah yang telah merupakan dirinya menjadi suatu ketakutan, cinta itu kerap kali berupa putus harapan, takut cemburu, hiba hati dan kadang-kadang berani.
7) Kadang-kadang cinta bersifat tamak dan loba, kadang-kadang was-was dan kadang-kadang putus asa.
8) Apakah keuntungan dan bahagianya cinta yang tiada berpengharapan?
Bukankah cinta itu sudah satu keuntungan dan pengharapan?
9) Permulaan cinta adalah membiarkan orang yang kamu cintai menjadi dirinya sendiri, dan tidak merubahnya menjadi gambaran yang kamu inginkan. Jika tidak, kamu hanya mencintai pantulan diri sendiri yang kamu temukan di dalam dirinya.
10) Kalau cinta itu hanya pada kecantikan, maka kecantikan seorang perempuan kelak akan dikalahkan pula oleh kecantikan yang lain.
Demikianlah pesan-pesan Hamka kepada mereka yang sedang jatuh cinta. Cinta itu membangunkan diri. Seperti kisah cinta Zainuddin di dalam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijk. Walaupun hatinya patah melihat wanita yang dicintainya jatuh ke tangan yang lain, Zainuddin bangkit mengubah dirinya dan membuktikan bahawa beliau telah berjaya.
Cinta itu tentang kesetiaan dan kesabaran. Seperti di dalam novel Si Sabariah, walaupun Sabariah dihasut oleh ibunya sendiri untuk meninggalkan suami demi harta, Sabariah tetap berusaha untuk setia menanti suaminya dan bersabar dengan kekurangan suaminya. Kerana cintanya Sabariah kepada ibunya, beliau tidak pernah berkasar dengan ibunya sendiri malah menasihati ibunya dengan penuh hikmah.
Cinta itu memerlukan pengorbanan seperti kisah di dalam novel Terusir, Mariah mengorbankan dirinya sendiri demi menyelamatkan anaknya daripada kejahatan orang lain tanpa memikirkan nasib dirinya sendiri. Benarlah bahawa cinta seorang ibu kepada seorang anak tiada gantinya.
Kesimpulannya, cinta yang sejati itu membantu kamu untuk bertumbuh dengan baik. Berhati-hatilah dalam memilih dan memberi cinta kerana sakitnya putus cinta itu bukan sekadar sakit pada emosi malah memberi kesan kepada fizikal tubuh badan.