Kenangan-kenanganku di Malaya, sebuah buku yang penuh dengan tulisan harapan dan semangat yang sehingga ke hari ini saya kira tidak akan luntur walau sedikit pun.
Saya terfikir bahawa kali ini Buya Hamka menghadiahkan kepada pembacanya sebuah karya yang sama seperti Di Tepi Sungai Dajlah, menceritakan pengalaman-pengalaman beliau berada di tempat orang, sekali gus membuatkan kita turut bersama-sama beliau berjalan di tepi Sungai Dajlah sambil menelusuri kembali sirah agung.
Tetapi, Kenangan-kenanganku di Malaya bukanlah begitu. Malah, saya dapat rasakan setiap bait kata Hamka itu ditulis dengan penuh pengharapan kepada saudara-saudaranya di Tanah Melayu agar merdeka dengan jiwa orang-orang yang sentiasa mengingati Tuhan Allah.
Dengan dada berdebar-debar laksana seorang puteri menantikan kekasihnya yang tidak kunjung datang, demikianlah saya menunggu kemerdekaan Malaya. Kakaknya pulau-pulau Indonesia telah lebih dahulu 12 tahun keluar dari dalam lubang penjajahan itu. Tetapi hatinya tidak senang mengapa adiknya tidak kunjung datang!
Pasti Buya dengan semangat yang berkobar-kobar menulis karya Kenangan-kenanganku di Malaya agar Tanah Melayu turut sama-sama mengecapi kemerdekaan yang hakiki.
Setiap helaian yang dibaca, saya akan cuba membaca dengan perasaan yang segar dan bersemangat supaya saya dapat merasai semangatnya seorang Buya yang menulis dengan tulus ikhlas hatinya akan hikmah-hikmah yang boleh diambil untuk dijadikan pedoman.
Sungguh jelas, luas sekali ilmu pengetahuan Buya Hamka apabila beliau menyatakan ceritera zaman dahulu dan menceritakannya kepada kita supaya dijadikan tauladan. Seperti membaca helaian sejarah yang penuh dengan emosi yang sekejap berbangga, sekejap bersedih, sekejap menyatakan kesal.
Kemerdekaan suatu negara kalau tidak berpangkalan kepada kekuatan iman dan budi, nescaya akan runtuh kemerdekaan itu dari dalam.
Usai membaca penjelasan hikmah Hamka, sedarlah saya bahawa pembinaan negara ini tidak dapat lari daripada acuan yang Maha Esa. Andai negara itu dibina dengan sistem-sistem buatan tangan manusia, maka sekejap sajalah ia akan bertahan dan perlahan-lahan menuju kehancuran.
Andai saja kita benar-benar memahami acuan agama rabbani ini, semestinya perjalanan kehidupan manusia sehari-hari akan terlaksana dengan sebaik-baiknya.
Begitu juga dalam pembinaan negara, sistem manusia ini ternyata sungguh lemah. Lemahnya kerana dicipta oleh manusia, yang sifatnya juga lemah. Jelaslah, yang sempurna itu sememangnya hanya daripada Yang Maha Esa. Justeru itu, membina sebuah negara yang sebaik-baiknya mestilah mengikut celupan yang sebenar-benarnya iaitu celupan Islam.
Mana mungkin, sesebuah negara itu akan menjadi utuh tanpa undang-undang yang sebaik-baik undang-undang Allah?
Jika anak-anaknya dijajah pemikirannya; jika ibu bapa tidak memaknai tanggungjawab perkahwinannya; jika pemimpin sibuk bersandiwara di pentas politik tanpa bersungguh-sungguh memikirkan nasib rakyatnya; jika rakyat masih kais pagi makan pagi, kais petang makan petang; ternyata jiwa-jiwa kita masih belum merdeka.
Sungguh, penting sekali pesan-pesan Buya Hamka kepada kita generasi kini untuk sentiasa bersyukur dan memperbaiki diri kerana saat ini, kita pula yang menjadi barisan hadapan negara kita. Andai kita tidak sungguh-sungguh menjadi warganegara yang hidup di tanah bertuah ini, siapa lagi yang mahu menjaga martabat Malaysia?
Disediakan oleh,
Jiha Jahari