You are currently viewing Buya Hamka Menyingkap Rahsia Agung Bagaimana Manusia Mengenal Tuhan

Buya Hamka Menyingkap Rahsia Agung Bagaimana Manusia Mengenal Tuhan

Setiap saat, kita manusia fitrahnya perlukan pergantungan. Saat senang, ingin menggantung gembira dan syukur kepada yang memberi. Saat susah, ingin menggantung harap dan sabar kepada yang memegang kuasa. Sebab kita ini lemah, tak mampu berdiri sendiri. Nah, dari situ timbulnya keinginan yang kuat untuk mencari sandaran. 

Yang pasti, bukan sandaran yang biasa-biasa. Yang bila dihanyut senang, ditinggalkan terus jauh-jauh. Sandaran ini sandaran yang tidak terpisah. Yang ada di setiap denyut dan nafas. Yang dengannya kita mampu yakin dengan hidup. Yang menjadikan hidup kita bukan lagi sekadar hidup, melainkan ada tujuan yang lebih besar. Pandangan dan azam kita jauh, tapi tidak pula dipinggirkan yang di depan mata, kerana tanpanya, rosaklah tujuan utama.

Dalam karya Falsafah Ketuhanan inilah, Buya Hamka cuba membuka mata hati kita terhadap pergantungan yang hakiki itu. Dikupas dari awal, bagaimana kita sebagai manusia fitrahnya bertuhan.

Klik gambar untuk beli buku!

Zaman dulu, ketika cahaya Islam masih belum bersinar, ada yang mengambil makhluk sebagai tempat meminta, mengadu keluh-kesah. Tidak puas dengan matahari yang kadang ada kadang tidak, dibuatnya patung daripada tanah, diberi bentuk, lalu disembah dan dimintalah segala keinginan daripada tuhan hasil tangannya itu. Kalaulah ada yang mahu mengguna akal, pastilah senang ditunjukkan mana pencipta, mana yang dicipta.

Tapi pokok ceritanya bukan di situ. Yang mahu diketengahkan Buya Hamka adalah sejauh dan sekuat mana perlunya manusia kepada Tuhan, sehingga apa-apa di sekelilingnya yang dirasa sesuai, diambil dijadikan Tuhan. Disembah siang dan malam. Kerana apa? Kerana fitrahnya begitu. Mahu bertuhan itu dhoruri bagi manusia, di setiap zaman dan tempat. Manusia itu makhluk, dan makhluk itu sudah semestinya perlu bergantung kepada yang Khaliq. Maka sakitlah mereka yang hidup menafikan fitrahnya  sendiri. 

Dalam surah Ar-Rum, ayat 30:

“(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan bersedia dari semula jadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” 

Ayat ini cantik menjelaskan bagaimana manusia itu secara semula jadinya cenderung terhadap agama Allah, yakni Islam. Agama yang di dalamnya terangkum segala aspek kehidupan manusia untuk kesejahteraannya dunia dan akhirat, di mana tunjangnya tidak lain tidak bukan adalah tauhid. Iaitu mengakui wujudnya Tuhan yang memiliki kesempurnaan mutlak, tidak ada yang setara denganNya walau sedikit, maka jelaslah tidak adalah sekutu bagiNya. Dan pengakuan ini tidaklah susah, kerana ia memang sudah ditanam dan berakar dalam diri manusia itu sebelum lahirnya. Fitrahnya untuk bergantung, berharap dan cenderung kepada Yang Berkuasa dan Yang Mencipta; Allah ‘azza wa jalla.

Setelah diyakinkan hal itu, mengiktiraf bahawa Tuhan itu ada, maka disingkaplah sedikit rahsia mengenaiNya sebatas akal kita sebagai manusia.  

Yang paling menarik, bagaimana Buya Hamka seolah-olah memahami akal dan rasa hati kita dalam mengenal Allah. Disentuh bagaimana fikiran kita terkadang mengintai-intai daerah yang tidak-tidak, kerana ingin sekali tahu hakikat Tuhan, sehingga bertambahlah persoalan ‘apa’ dan ‘mengapa’. Ada ketika, timbul rasa takut kalau-kalau pertanyaan tadi tidak menemui jawapan, atau kalau-kalau tersesat keluar melepasi batas, sehingga mungkin akan kendurlah tali iman. Lalu, cepat-cepat ditarik akal dan ditutup pintu ke daerah tadi.

Tapi Buya Hamka tenang menjelaskan, bahawa itu tandanya kita makhluk yang bernama manusia, yang tidak lari dari terus-terusan berfikir. Semuanya mahu diselongkar, diketahui pucuk pangkalnya. Tidak mengapa, kata Buya Hamka, kerana di hujung persoalan tadi, kita bahkan tidak akan menemui apa-apa. Tenanglah kita, kerana itulah tanda bahawa kita sudah bertemu dengan jawapannya;

Pertama: 

Khaliq itu Ada, cukup kerana makhluk itu ada

Kedua: 

Agungnya Khaliq, dan lemahnya makhluk

Disediakan oleh,

Hidayah Hashim