Saya tidak dapat mengingati bila sebenarnya saya mula mengenal nama HAMKA. Sedar-sedar sahaja, nama itu seperti sudah biasa didengar dan disebut walaupun hakikatnya saya langsung tidak mengetahui siapa sebenarnya beliau. Yang diketahui, beliau adalah penulis Tafsir Al-Azhar, satu kitab tafsir al-Quran hebat di Nusantara yang acap kali disebut oleh kakak usrah. Itu pun, saya tidak pernah membelek, apatah lagi membacanya ketika itu.
Pada 2 Disember 2014, saya berkesempatan mengikuti ceramah Jelajah Kampus: Buya Hamka yang bertempat di Masjid Kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Saya tidak pula mencatat nama yang memberikan ceramah tersebut. Penceramah memulakan ceramahnya dengan membangkitkan dua persoalan:
Kenapa kita selalu berbicara tentang HAMKA? Dan, apa yang ada pada HAMKA?
Dua persoalan itu cocok bagi saya yang baru sahaja mahu mengenali HAMKA. Ada beberapa isi penting yang saya catat dan ingin kongsikan.
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menyenaraikan enam bidang ilmu yang mesti dikuasai oleh seorang pendakwah iaitu ilmu agama, sejarah, sastera dan bahasa, kemanusiaan, sains, dan hal ehwal semasa. Penceramah pula menambah satu lagi ilmu iaitu ilmu teknologi semasa.
Keenam-enam bidang ilmu tersebut ada pada HAMKA yang membuatkan dirinya multidisiplin dan versatil dalam menjalankan dakwah. Hal ini disebabkan HAMKA sangat luas pembacaan dan jauh kembaranya melihat dunia luar.
Kehebatan HAMKA dalam bidang penulisan tidak dapat disangkal lagi. Karya penulisan HAMKA malar hijau kerana tema penulisan beliau berlegar dalam empat topik yang sememangnya akan dibicara oleh manusia iaitu agama, politik, sejarah, dan kebudayaan. HAMKA juga tidak lekang daripada membuat kritikan sosial dalam karyanya yang memperlihatkan ketajaman mata akal dan mata hatinya apabila melihat dan berfikir tentang kehidupan masyarakat sekeliling.
HAMKA juga berjaya melestarikan penulisan agama beliau dalam bentuk falsafah pada had yang tidak menyesatkan. Hal ini kerana, beliau berdisiplin dalam proses menuntut ilmu untuk membina kerangka berfikir agar tidak bertaklid buta.
Sebagai penutup, penceramah mengajak kami berfikir tentang bagaimana kita boleh mencari inspirasi dalam keadaan alam yang tidak lagi hijau, yang sudah dipenuhi dengan pembangunan?
HAMKA amat menekankan kepentingan berinteraksi dengan alam. Alam, seperti yang dimaksudkan HAMKA dalam kitab tafsirnya, adalah segala yang wujud kecuali Allah. HAMKA sendiri dibesarkan di kawasan yang indah dan mendamaikan di Maninjau. Sudah tentu, tidak semua daripada kita direzekikan untuk lahir dan tinggal di kawasan yang mendamaikan, apatah lagi untuk setiap saat terinspirasi dengan alam.
Jawab penceramah itu, “mulakanlah dengan ketenangan dari dalam hati masing-masing”.
Pada 17 Februari 2020 pula, saya berpeluang menghadiri Kuliah Khas: Air Mata & Cinta Buya HAMKA yang bertempat di Masjid Alwi, Kangar, Perlis. Kuliah setelah solat Maghrib itu disampaikan oleh Yang Berbahagia Surya Bunawan Ma, iaitu Penolong Kanan Kulliyatul Muballighien Muhammadiyah Kauman Padang Panjang, Sumatera Barat, Indonesia.
Penceramah memerihalkan HAMKA sebagai seorang yang pemaaf. Buktinya, HAMKA ditangkap dan dipenjarakan oleh Presiden Soekarno pada usia 57 tahun tanpa keadilan. Di penjara, HAMKA diseksa agar beliau mengakui perkara yang tidak dilakukannya.
Namun perkara tersebut tidak menjadikan HAMKA berdendam kepada Presiden Soekarno. Malah, apabila Presiden Soekarno mewasiatkan supaya HAMKA menjadi imam untuk solat jenazahnya, HAMKA menuruti permintaan tersebut. HAMKA sendiri mengakui yang Presiden Soekarnolah yang merealisasikan kemerdekaan Indonesia. HAMKA cuma kisah kerana Presiden Soekarno adalah seorang Muslim, dan menjadi tanggungjawabnya sesama Muslim untuk menguruskan jenazahnya.
Kini, saya berkesempatan mengikuti Bacaan dan Huraian Tafsir Al-Azhar yang diadakan pada setiap minggu di Masjid Al-Abrar, Kubang Gajah, Perlis. Walaupun kami masih berada pada bab Surah Al-Fatihah dan entah bila akan tamat keseluruhan 30 juzuk Tafsir Al-Azhar tersebut, saya fikir eloklah kami mengambil masa mengamati setiap baris ayat yang ditulis oleh HAMKA. Kearifan HAMKA dalam mengenali masyarakat yang berbeza latar belakang pendidikan membuatkan penafsiran tersebut mudah difahami.
Walaupun pembacaannya mudah difahami, namun ia bukanlah satu pembacaan santai. Membaca tafsirnya membuatkan diri ini terasa seperti ditampar berkali-kali. Manakan tidak, baris-baris ayatnya, walaupun kelihatan biasa, tetapi mempunyai nilai hikmah yang tinggi.
“Kita manusia kadang-kadang lupa akan rahmat kerana kita tidak pernah dipisahkan dari rahmat” .
(muka surat 94, Surah Al-Fatihah dan Juzuk 1)
Betapa benar kata-kata HAMKA itu walaupun mungkin telah berulang kali kita diperdengarkan atau membaca akan hal tersebut. Sedang jari-jemari menaip artikel ini, dan kemudian ada pula mata yang sedang membacanya, kita semua sememangnya sedang berada dalam rahmat Allah.
“Kalau tidaklah mengingat akan ‘kehidupan kali kedua’ itu, mungkin sudah lama saya pun dibawa hanyut oleh nafsu hendak berkuasa dan menjadi mabuk oleh kekuasaan itu” .
(muka surat 69, Surah Al-Fatihah dan Juzuk 1)
Acap kali HAMKA mengingatkan kita agar tidak pernah lupa akan kehidupan akhirat. Ingatan terhadap kehidupan di sanalah yang membantu kita agar tidak hidup sewenang-wenangnya dalam kehidupan di sini.
Penguasaan HAMKA dalam kepelbagaian pendapat ulama dalam perkara-perkara khilafiyah atau ijtihadiyah memberi peluang kepada kita sebagai pembaca tafsirnya meneroka sekelumit daripada keluasan lautan ilmu.
Setelah panjang lebar HAMKA menerangkan sesuatu perkara dari pelbagai pandangan, HAMKA tidak lupa mengajar kita adab apabila bertembung dengan perbezaan pendapat. Satu perkara yang lapang tidak wajar disempitkan dek masing-masing mahu memenangkan hujah sendiri. Sikap hormat-menghormati dan bertolak-ansur dapat mencegah daripada berlakunya fitnah yang boleh membawa kepada perpecahan umat.
Namun, sikap toleransi tetap perlu bertempat, dan itu juga diajar oleh HAMKA. Pada perkara-perkara yang melibatkan soal akidah, tiada toleransi dibenarkan terhadap perkara-perkara yang jelas bertentangan dengan akidah Islam.
HAMKA sendiri pernah mengeluarkan fatwa yang haram hukumnya bagi Muslim untuk menyambut perayaan Krismas. Namun, Presiden Soeharto menyuruh HAMKA menarik semula fatwa tersebut. HAMKA tidak mengikut arahan tersebut kerana beliau tidak mahu tunduk pada kuasa yang bertentangan dengan agama. Sikap toleransi HAMKA pada sebahagian perkara tidak menafikan ketegasannya pada sebahagian perkara yang lain.
Mengenangkan yang baris-baris ayat dalam Tafsir Al-Azhar tersebut ditulis ketika HAMKA sedang berada di dalam penjara cukup menginsafkan. Diceritakan kisah penangkapannya dalam bab yang dinamakan Hikmah Ilahi. Agak ironi, tetapi, itulah hakikatnya. Keberadaan HAMKA di dalam penjara merupakan hikmah kepada dirinya yang diberi ruang masa untuk beribadah, membaca, dan menulis. Ia juga adalah hikmah kepada kita agar dapat mengambil sedikit ilmu tafsir daripada tulisan beliau.
Kita direzekikan untuk mengenali HAMKA melalui pembacaan karya penulisannya dan juga melalui pelbagai program ceramah tentang beliau. Namun, tidaklah sempurna jika hanya mengenali satu tokoh hebat jika tidak mengambil sekali manfaat daripadanya. Bukan sahaja buku-bukunya yang mengandungi 1001 nilai hikmah wajar ditelusuri, adab dan perwatakannya juga selayaknya dicontohi.
—
Disediakan oleh,
Syamim Binti Hashim
Pelajar PhD dalam bidang Psikologi di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)